Tuesday, April 28, 2009

KEM BINA INSAN GURU II (KEM RIMBA, PULAU PANGKOR)


Sepanjang berada di Kem Rimba, Pulau Pangkor menjalani program Bina Insan Guru II, saya merasakan bahawa terdapat beberapa kekurangan pada diri yang perlu saya perbaiki. Antaranya ialah :

  1. kurang menekankan aspek ketepatan masa.

  2. kurang keyakinan diri (sehingga ada satu tahap merasakan hampir putus asa).
Bagi mengatasi masalah ini saya telah merancang pelan tindakan yang akan saya ambil iaitu :
  1. lebih cepat bertindak / bergerak sebelum bermulanya sesuatu program yang ingin dilaksanakan bagi menjamin ketepatan waktu dapat dijaga.

  2. kuatkan semangat diri. Tetapkan pada diri bahawa tiap apa yang dilakukan hakikatnyaada objektif dan matlamatnya yang tersendiri dan setiap insan itu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Pelan tindakan yang dibentuk berlandaskan matlamat untuk menjadi insan yang mementingkan ketepatan waktu serta mempunyai keyakinan diri untuk melakukan apa jua perkara. Perkara ini juga pada dasarnya mempunyai kaitan yang amat rapat dengan diri seorang guru. Amat penting bagi seorang guru untuk menghargai masa, baik untuk diri sendiri mahupun bersama para pelajar. Selain itu, keyakinan dalam diri pula menjadi penilaian terhadap ketrampilan dan kredibiliti seseorang guru di mata para pelajarnya.

(kuliah 2) PERJALANAN PROSES KAJIAN TINDAKAN


Kajian tindakan di dalam pendidikan umumnya melibatkan proses mengenalpasti masalah yang berlaku di dalam bilik darjah sama ada pada diri para pelajar, suasana bilik darjah, mahupun pada diri guru sendiri. Setelah sesuatu masalah dikenalpasti, maka penambahbaikan perlu dilakukan dengan cara merancang pelan tindakan bagi mengatasi masalah tersebut, dan dikukuhkan dengan pembinaan matlamat dan objektif yang jelas sebagai garis panduan kepada kajian yang ingin dilakukan.

Pelan tindakan yang dibentuk hendaklah merangkumi aspek :
  1. Langkah-langkah yang ingin diambil.
  2. Perancangan untuk mengumpul data mengenai permasalahan tersebut.
  3. Cara untuk memantau semula perancangan yang telah dibuat.
  4. Bagaimana untuk menilai semula sama ada apa yang dirancang tercapai ataupun tidak.
Ini menunjukkan bahawa, proses kajian tindakan yang dilakukan tidak hanya melibatkan proses mengenalpasti masalah dan mencari jalan penyelesaian semata-mata. Ia juga turut melibatkan proses mengumpul data-data, memautau perjalanan kajian sama ada berjalan seperti yang dirancang ataupun tidak, dan juga menilai semula sama ada matlamat dan objektif kajian tercapai ataupun tidak.

Sesuatu kajian tindakan juga melibatkan proses pengulangan pemantauan dan penilaian sepanjang kajian dilakukan bagi memastikan sebarang kekurangan di dalam kajian dapat diperbaiki dan dikemaskini dari masa ke semasa. ini bertujuan untuk penambahbaikan sebarang fakta yang terdapat di dalam kajian, atau mungkin bagi memastikan tiada sebarang kesalahan yang berlaku.

Sunday, April 26, 2009

(KULIAH 1) KAJIAN TINDAKAN


Kajian tindakan merupakan satu proses yang melibatkan pencarian dan pengumpulan data-data mengenai sesuatu permasalahan yang timbul dan ingin dikaji dan seterusnya dianalisis data-data tersebut menjadi satu maklumat yang dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Suatu kajian tindakan bermula dengan timbulnya sesuatu masalah yan ingin dikaji, kemudian tinjauan kepustakaan dilakukan bagi memastikan bahawa masalah tersebut sudahpun dibuat kajian oleh orang sebelumnya ataupun belum. Selepas itu, barulah kajian secara lebih meluas dilakukan. Kajian tindakan melibatkan kajian secara pemerhatian, soal selidik, soal jawab, lapangan, kepustakaan, dan sebagainya.

Bagi tujuan penambahbaikan dalam dunia pendidikan, guru amat digalakkan untuk memperbanyakkan kajian tindakan terutamanya di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain memastikan mutu pengajaran dapat dipertingkatkan, malah dapat membantu proses pembelajaran para pelajar iaitu dengan membuat kajian mengenai pelbagai cara untuk meningkatkan prestasi pelajar di dalam pelajaran misalnya.

Proses kajian ini tidak hanya melibatkan kajian secara individu semata-mata, malah ia boleh dilakukan secara berkumpulan mahupun berkelompok di antara guru dengan guru, sekolah dengan sekolah mahupun dengan pihak luar seperti pensyarah universiti dan sebagainya.

Antara contoh kajian tindakan yang boleh dilakukan oleh guru adalah mengenai bagaimana meningkat tahap pemahaman pelajar dalam memahami hukum tajwid al-Quran. Dimulakan dengan pencarian maklumat melalui kajian kepustakaan bagi mendalami masalah yang ingin dikaji serta melihat kajian-kajian sebelum ini jika ada yang berkaitan dengan tajuk sebagai rujukan dan maklumat tambahan.
Selain itu, masalah ini dapat dikenalpasti pada peringkat awal dengan melakukan soal selidik di kalangan pelajar untuk mengenalpasti tahap para pelajar di dalam hukum tajwid. Ia boleh dikukuhkan dengan penambahan maklumat dengan melakukan soal jawab terhadap para guru yang mengajar subjek berkenaan mengenai tahap para pelajar di dalam memahami dan mengaplikasikan hukum tajwid ketika di dalam pelajaran tilawah al-Quran.

Lebih bermanfaat sekiranya masalah yang timbul disertakan bersama cadangan penambahbaikan yang releven bagi membantu para guru serta pelajar mengatasi masalah tersebut. Ini merupakan suatu contoh umum berhubung tentang suatu sukatan pelajaran di dalam pendidikan Islam bagi subjek tilawah al-Quran di mana para pelajar akan dinilai tahap pengetahuan mereka mengenai hukum tajwid semasa sesi membaca ayat-ayat terpilih di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.